Friday, November 6, 2009

meja itu sempit....

Kuala Lumpur, Malaysia

Sebuah kereta sedan putih memasuki perkarangan rumah semi-D. Seorang lelaki keluar dari kereta diikuti seorang wanita dan tiga orang kanak-kanak. Keriangan jelas terpancar di setiap wajah. Petang itu, alam menjadi saksi kebahagiaan mereka.

Di sebuah meja empat segi, beberapa hidangan tersedia, hanya menunggu untuk dicicip. Puan Beli Belah sedang membuat minuman, untuk suami nan tercinta, anak nan tersayang. Jam menunjukkan angka 8. Ya, waktu makan malam.

Seketika kemudian, Encik Tenang muncul bersama Tukul, Pasu dan Patung. Setelah berdoa, mereka menjamu diri. Encik Tenang seperti namanya, begitulah perihalnya; tenang. Beliau menikmati makan malam itu tanpa sebarang perasaan, walaupun untuk bersyukur atas makanan hari ini. Puan Beli Belah ialah seorang isteri dan ibu yang hebat. Beliau mampu melakukan dua perkara dalam satu-satu masa. Misalnya, sekarang. Sedang mulutnya mengunyah makanan, bagaikan keajaiban yang langka, tangannya sibuk sendiri membuka katalog;semestinya mencari tas keluaran bulan ini.

Tukul, anak sulung mereka, juga mempunyai sifat tersendiri. Tidak dapat tidak, setiap masa pasti akan dimanfaatkan jarinya menekan-nekan punat telefon bimbit;paling digemari adalah semasa ditandas, mungkin memberi kelainan. Pasu, yang baharu berumur 7 tahun, tidak lekang dengan bedak dan lipstik, walaupun sewaktu tidur. Kata pepatah memang benar belaka, 'kemanakah kuah tumpah kalau tidak ke nasi'. Sementara Patung, umpama patung hanya mampu merengek dan sesekali diam, tetapi tidak didengari oleh sesiapa pada ketikanya. Sering menjadi mangsa buli abang dan kakaknya, namun tidak pernah berdendam.

Malam itu, di meja makan biasa, sesuatu yang luarbiasa telah terjadi.
"Honey, kenapa meja ni sempit sangat? tak muat tau nak letak makanan-makanan ni semua".


Selatan Gaza, Palestin

Angin terasa bahang. Dihadapannya, hanya puing-puing reruntuhan bangunan. Disisinya, pohon-pohon menyembah bumi, seolah-olah pasrah. Hari ini, dia harus mempunyai sesuatu untuk keluarganya. Jika tidak, kehidupan hari esok bakal samar, sesamar petang itu.

Langkah kakinya semakin lemah, namun tetap terhayun. Keringat merembes keluar. Kudratnya semakin rentan. Tetapi, jiwa wanitanya kuat dan segar. Zikir sebagai peneman dirasakan sangat cukup untuk menempuh hari ini. Di sebuah lorong, dia mencari harapan, semoga masih ada.

Namun Tuhan berkehendak lain. Lorong itu masih sepi seperti semalam, dua dan tiga hari yang lalu. Tiada kelibat pedagang sayur. Tiada kelibat pedagang gandum. Tiada kelibat pedagang kurma. Memang tiada.

Dia tidak mahu berputus-asa. Mungkin di lorong lain akan ada pedagang yang berharap seseorang akan melariskan jualannya, setidaknya untuk hari ini. Pujian segera dipanjatkan kepada Sang Tuhan. Istighfar dilantunkan.

Fajar hampir mengufuk ke timur, deruan angin dingin mula menyapa lemah. Dan, dia masih mencari keajaiban. Setiap langkah adalah harapan, setiap kerdipan merupakan zikirnya. Hatinya merintih kepada Tuhan, tiupkan lagi sedikit semangat, demi keluarganya. Lalu, di sebuah persimpangan gelap, dia tersungkur. Kepalanya terasa berat mencengkam, badannya longlai. Disitu juga, dia rebah. Hanya bibirnya yang masih bergerak. Hingga hujung nyawanya, zikir masih dibibir.

3 comments:

  1. owh dino..mengapa post kamu amat menginsafkan diriku ini!!

    gud post btw..haha

    ReplyDelete
  2. aku masih ingat tulisan ko yg cantik dan kemas tu dino..huhu

    ReplyDelete